what i m selling

what i m selling

JOM ORDER??

Name:
contact no:

This HTML form was created by Freedback.

Friday, 22 February 2013

Speachless

Ya Allah meleleh-leleh airmata baca cerita dia. Hanya insan yg hebat diuji sebegitu hebat oleh-Nya. Tanda Allah sayangkan mereka. Jom layannn

7 hari yang mendebarkan
Tujuan aku menulis ini adalah untuk merakamkan detik-detik cemas dalam hidupku sebagai pengajaran buat diriku dan anakku di masa hadapan supaya ujian berat ini terus menerus menjadi iktibar buat kami sekeluarga, Amin.

Sehari sebelum
30/10/2012
Genap 37 minggu usia kandunganku. Hari ini aku ada temujanji dengan doktor di klinik ibu mengandung PPUM. Setelah pemeriksaan, doktor menyarankan agar aku segera masuk ke wad dan menjalani pembedahan pada esok hari. Esok hari? Aku targamam. Namun setelah diyakinkan doktor kebetulan esok hari ada ramai doktor pakar yang free kerana banyak pembedahan yang dibatalkan, aku menurut saja. Pembedahan yang bakal aku lalui dikategorikan sebagai high risk kerana mudah berlaku tumpah darah dan memerlukan penglibatan beberapa pakar. Ini adalah kerana kandunganku mempunyai banyak fibroid besar dan kecil disekeliling anakku. Fibroid ini tidak boleh terpotong kerana mempunyai serat darah yang banyak. Untuk menghindari fibroid dan uri bawah, aku perlu dibedah di bahagian rahim yang agak ke atas dari biasa. Sekali lagi risikonya tetap sama, bahagian ini juga mempunyai serat darah yang banyak.
Pada malamnya aku diberi suntikan untuk mematangkan paru-paru bayi. Ianya sebagai langkah berjaya-jaga walaupun anakku telah pun cukup bulan. Sebelum aku disuntik aku diberitahu oleh nurse suntikan ini agak perit. Menggigil pehaku menahan sakit. "Saya tahu suntikan ini sakit, sebab itulah adanya hari ibu". Bijak nurse ini buat aku tersenyum kembali. Malam ini tiada lain yang aku fikirkan melainkan Allah. Aku berserah bulat-bulat pada takdir dan ketentuanNya. Aku yakin Allah hanya takdirkan yang terbaik buatku. Walaupun ianya sesuatu yang tidak disukai kebanyakan orang.

Hari pembedahan
31/10/2012
Tarikh pembedahan. Seawal 8.30 pagi aku telah disorong ke bilik pembedahan, walhal pembedahanku bakal dilakukan pada jam 10 pagi. Mujur suamiku datang awal...mungkin berdasarkan pengalaman lalu tidak sempat menemuiku sebelum pembedahan. Aku memohon redha suamiku, beliau mencium dahiku. Di bilik menunggu ku lihat pembedahan sebelumku dilakukan begitu lancar, dalam masa setengah jam sahaja semuanya selesai. Doaku semoga aku jua selancar itu. Kira-kira jam 10.25 pagi aku dibawa masuk ke dewan bedah. Terdapat ramai kakitangan yang sibuk menyiapkan aku. Kemudiannya hidungku ditekap dengan alat oksigen. "Haslinda, tarik nafas dalam-dalam, kami nak kosongkan oksigen dalam paru-paru awak". Oleh kerana pembedahan ini berisiko tinggi, aku akan dibius penuh. Pernafasanku akan dikawal sepenuhnya oleh mesin. Sebelum tanganku dibius aku diingatkan untuk mengucap terlebih dahulu. Setelah itu aku tidak sedar lagi. 
Setelah 2 jam, pembedahan pun selesai. Apabila aku sedar, aku dikelilingi hampir 10 orang yang memanggil-manggil dan menggoncang badanku. Itu belum lagi yang berada di belakang... mungkin lagi 10 orang atau lebih. Namun panggilan itu sering kali hilang dan aku tidak sedarkan diri kembali. Antara sedar dan tidak aku diangkat dari tempat pembedahan ke katil untuk di sorong ke ruang pemulihan. Hanya sebentar, aku tidak sedar kembali. Apabila aku kembali sedar, ku lihat satu pek darah sedang dimasukkan ke tubuhku. Sekali lagi hanya sebentar, aku tidak sedar kembali. Tiba-tiba ku rasakan seluruh badanku menggigil. Aku memanggil nurse. Mereka menyelimutku dengan 'blanket' pemanas. Setelah agak lama aku dipanaskan barulah aku stabil terus sedar, rupa-rupanya sudah jam 4.20 petang. Bayangkan pembedahan ku selesai dari jam 12 lebih, pukul 4.20 petang baru aku sedar sepenuhnya. Dan selama itulah ahli keluargaku masih belum tahu keadaan diriku. Bayangkan perasaan suamiku yang berulang alik dari ruang menunggu ke wad ICU dari pagi ke petang. Perasaannya menjadi cuak, pembedahan apa dari pagi ke petang tiada kabar berita. Terdapat juga ahli keluargaku yang sudah mula tidak dapat menahan air mata. Suami ku diberitahu untuk pergi melihat anakku yang dikejarkan ke ICU kanak-kanak terlebih dahulu. Bayiku lahir senyap tanpa tangisan dan kaki tangannya sudah mula kebiru-biruan. Bayiku kekurangan oksigen selama 25 minit semasa pembedahan kerana kesukaran untuk mengeluarkannya yang melintang dicelah-celah fibroid yang banyak. Kekurangan oksigen ini dikenali sebagai hypoxic ischemic enchephalopathy(HIE) yang mempunyai 3 peringkat iaitu grade 1, 2-moderate, dan 3-severe. Bayiku di diagnose pada peringkat awal mengalami HIE grade 2 yang memerlukan terapi 'brain cooling' bagi membantutkan proses kerosakkan otak akibat kekurangan oksigen. Terapi berkenaan akan dilakukan selama 3 hari. Dengan penurunan suhu badan bayi akan merendahkan kadar metabolisma memberi ruang pemulihan sel berlaku pada tempoh yang panjang. Pernafasan, nadi, kadar oksigen dan aktiviti gelombang otak sentiasa dipantau untuk melihat tindakbalas terhadap terapi cooling. Kerana itu terdapat banyak wayar-wayar di tubuh bayiku yang disambung terus ke organ dalaman. Di sepanjang tempoh pemantauan itu bayiku ditidurkan dan diberi 'life support'.

Di wad ICU - hari pertama
01/11/2012
Awal-awal pagi lagi datang jururawat yang membersihkan badanku yang terbaring di atas katil. Aku terasa kekok dan malu, dapat merasakan betapa mulianya tugas seorang jururawat. Sekitar jam 8 pagi terdapat ramai doktor yang buat 'rounding' ke atas setiap pesakit. "Yang mana satu haslinda?" Tanya sekumpulan doktor. Kemudiannya doktor tersebut ada yang bersalam, ada yang tabik dengan aku. Aku kehairanan. "You're almost past away, you hilang 4.5 liter darah. Badan manusia ada 5 liter darah. So you lost almost semua darah you." Aku tergamam, antara percaya atau tidak kata-kata doktor tadi. Alhamdulillah badanku dapat menerima baik darah baru ini. Tiada sebarang komplikasi, cuma kulitku yang menjadi sensitif. Aku percaya badanku menunjukan kesembuhan yang cepat kerana semangatku untuk melihat keadaan bayiku yang berada di ICU. Aku tidak sabar untuk menyentuhnya, memberi rangsangan agar dia kuat untuk menghadapi ujian ini.

Di wad ICU - hari kedua
02/11/2012
Hari ini tiub-tiub yang berada pada tubuhku telah dicabut. Alhamdulillah kesan pembedahan agak kurang sakit berbanding pembedahan yang aku lalui sebelum ini. Di sebelah katilku ada seorang pesakit muda yang baru berkahwin. Beliau mengidap darah tinggi ketika mengandung hingga terpaksa melahirkan anak pra-matang berusia 7 bulan. Tetapi yang peliknya bayinya hanya mempunyai berat badan 800 gram dan belum sempurna lagi jantinanya. Subhanaullah! "Hidayah, kan missy dah pesan, setiap apa yang terjadi itu Allah dah rancang. Setiap orang semua ada skripnya tersendiri. Kita perlu redha dengan skrip yang Allah dah tentukan itu. Masalahnya kita ni pun ada skrip sendiri, jadi bila berlaku sesuatu yang tidak menyerupai skrip kita, kita jadi sedih. Padahal skrip Allah lah yang paling baik untuk kita. Mungkin kita tak nampak kebaikannya sekarang, tapi itulah yang terbaik dan kita wajib yakin padaNya." Tak sedar kata-kata missy itu benar-benar menyentuh hatiku dan membuatkan aku menangis teresak-esak.
Doktor datang dengan 1 plastik darah. Sebelum ini telah 4liter darah berjaya dimasukan ketikaku berada di bilik pembedahan. Tidak sampai 5 minit darah baru memasuki tubuhku, aku terasa gatal-gatal pada tangan dan di seluruh badan. Tiba-tiba tanganku ditumbuhi bintik-bintik ruam merah yang bertompok-tompok, sukar bernafas dan jantungku berdegup sangat kencang. Aku menjadi panik, apa yang bakal terjadi? Aku dipasangkan alat bantuan pernafasan dan diberikan drip bagi meneutralkan darahku kembali. Hampir 10-15 minit selepas itu barulah aku kembali stabil. Pengalaman reaksi penolakan darah yang diterima membuatkan aku menjadi fobia. Mujur selepas itu doktor pun bersetuju untuk memberhentikan pemindahan darah.

Di wad post natal
03/11/2012-04/11/2012
Hari ini aku dipindahkan ke wad post natal bagi memantau kestabilan badanku sebelum dibenarkan pulang. Alhamdulillah kesihatanku stabil. Cuma terasa pening apabila melihat banyak objek yang bergerak. Ini adalah kerana paras hemoglobin ku yang masih rendah sekitar 7.8. 
Hari ini adalah hari pertama ke wad ICU kanak-kanak setelah 3 hari bayiku berada di situ. Luluh hatiku bila melihat tubuh kecil yang dipenuhi wayar-wayar itu adalah bayiku. Aku menghampirinya. Ku berikan salam, mengusap kepalanya dengan membaca selawat, al-fatihah dan ya Allah ya Salam berulang-ulang kali. Namun tiada sebarang reaksi. 
Malam itu aku tidak dapat melelapkan mataku. Tubuhku terasa bisa-bisa. Mungkin kerana aku kurang rehat akibat kesukaran untuk tidur. Tidak tahu apa yang ku rasakan, perasaanku kosong. Di setiap helaan nafas aku sulami dengan zikir asma' Allah. Aku berkomunikasi terus denganNya. "Ya Allah, sesungguhnya nyawaku dan nyawa bayiku adalah milikMu. Jika ini ujian pembuktian cintaku terhadapMu melebihi dari segala sesuatu di dunia ini...aku redha ya Allah." Setiap ujian terutama ujian berat yang tidak terbayang kita mampu menanggungnya bakal membuatkan kita lebih rapat, lebih bergantung dan lebih mencintaiNya dengan suatu perasaan yang damai dan indah yang sangat sukar dicapai ketika nikmat dunia menyelubungi kita. Aku hanya insan yang sering lalai dan sering berulang kali menganiaya diri sendiri. Seandainya badanku menolak pemindahan darah sedari awal, apa aku telah bersedia menemuiNya? Cukupkah bekalanku? Terlaksanakah sudah tanggungjawabku sebagai khalifah Allah yang memertabatkan agama Allah? Apakah aku telah membawa imej sebagai seorang Islam seperti yang ditunjukkan Rasulullah hingga memikat hati orang untuk mendalami Islam? Tidak. Aku terlalu sibuk dengan urusan keperluan diri dan keluarga. Bagaimana dengan keperluan saudara seislam yang lain? Tiba-tiba ku terasa sangat kerdil. Kerdilnya ilmuku, kerdilnya amalku, kerdilnya imanku. Ya Allah aku mohon belasMu, ku pohon ehsanMu pada hambaMu yang kerdil ini, aku berlindung dari kemurkaan dan azabMu, Amin.
Setelah dua hari di post natal, keadaan kesihatan ku terus stabil dan aku dibenarkan pulang. Walaupun sebenarnya masih dapatku rasakan tubuhku terasa bisa-bisa, tapi hatiku cukup lega...selepas ini bolehlah aku menumpukan perhatian kepada bayiku sahaja.

Lawatan ke ICU kanak-kanak
05/11/2012
Kali pertama aku bermalam di rumah setelah seminggu ku tinggalkan. Namun aku tidak dapat tidur kerana bisa-bisa badanku makin ketara. Keesokan harinya aku berkemas untuk ke wad ICU kanak-kanak. Kami bercadang untuk bermalam di sana. Hari ini adalah hari yang sangat penting kerana bayiku akan menjalani pemeriksaan MRI untuk melihat kesan kerosakkan otak akibat kekurangan oksigen ketika dilahirkan. Setibanya aku di wad, aku terus membelai kepala bayiku dengan membaca pelbagai doa dan zikir. "Ya Allah, engkau selamatkanlah otak bayiku dari sebarang kecacatan", doaku. Walaupun aku sedaya upaya cuba untuk meredhakan setiap apa ketentuanNya namun aku tidak dapat bayangkan hari-hari mendatang jika bayiku disahkan mempunyai kecacatan kekal pada otaknya. Tiba masanya bayiku disorong keluar untuk melakukan MRI disertai doktor, nurse dan suamiku. Aku hanya melihatnya dan menunggu di sini kerana keadaanku yang masih lemah. Sedang aku menuju ke ruang rehat, tiba-tiba ku rasakan seluruh tubuhku menggigil. Aku cuba bertenang dan berzikir memohon padaNya supaya tiada sesuatu yang buruk berlaku. Namun, tubuhku makin kuat gigilnya. "Nurse, nurse", jeritku. Mujur ada nurse yang mendengarnya. Nurse itu panik melihat aku terketar-ketar. Aku diselimutkan dan dipasangkan heater. Suhu badanku tiba-tiba naik sehingga 39C. Suasana menjadi kecoh dan ramai nurse mengelilingi aku. Mereka mengesyaki aku terkena bentan lantaran aku terlalu penat dan jauh sekali untuk melakukan amalan-amalan dalam pantang kerana kesibukan. "Ibu baby kena jaga diri, jangan risau baby dekat sini, ada ramai nurse yang jaga", pesan ketua jururawat. Oleh kerana gigil ku tidak reda, mereka memanggil ambulans untuk menghantarku ke wad kecemasan...
Kesian suamiku, sekali lagi dia terpaksa berkejar ke dua tempat untuk melihat keadaan anak dan isteri. Oleh kerana keadaanku yang agak kritikal ketika itu, suamiku hingga lupa menyampaikan berita gembira, yang bayiku tiada mempunyai sebarang kecederaan otak dan disahkan hanya mempunyai HIE grade 1. Kesakitan yang ku tanggung tidak terungkap dengan kata-kata hingga jahitanku pembedahanku meregang dan terkeluar cecair di antaranya. Mujur tidak tertetas. Nauzubillah! Malam itu aku dimasukkan kembali ke wad post natal. Aku disahkan terkena jangkitan kuman pada salur kencing dan darah. Aku perlu diberikan suntikan antibiotik selama 5 hari di hospital dan 5 hari lagi secara oral yang boleh diambil di rumah.

Tangisan pertama
06/11/2012
Mulai hari ini cooling machine akan dimatikan dan sedikit demi sedikit suhu badan bayiku akan dinaikkan kepada suhu normalnya. Alat bantuan pernafasan juga telah dicabut, cuma wayar-wayar yang disambung terus ke jantungnya dll masih ada bagi terus memantau keadaan kesihatannya. Menurut suamiku hari ini pertama kalinya dia mendengar suara tangisan bayi kami setelah 7 hari dilahirkan. Tangisan yang mengalirkan airmata kami. Alhamdulillah. Petang itu baru aku berpeluang untuk melawat bayiku. Aku memanggilnya dan merangsangnya dengan perkataan yang sering aku tuturkan ketika bayiku masih lagi berada dalam rahimku. Tiba-tiba ku lihat airmata bayi ku mengalir walaupun bayiku masih lagi ditidurkan dan matanya tertutup rapat. Aku dapat rasakan yang bayiku ingin berada disisiku dan tidak mahu ditinggalkan lagi. "Insyirah kena kuat ye. Ummi sayang Insyirah", kesedihanku tidak tertanggung lagi, airmataku deras mengalir.

Dipindahkan ke wad pediatric
07/11/2012
Alhamdulillah, kesihatan bayiku terus stabil dan hari ini akan dipindahkan ke wad pediatric. Hatiku cukup lega. Pertama kali ku lihat bayiku tanpa wayar kecuali wayar ke perutnya bagi tujuan penyusuan ketika di ICU. Esok doktor akan membuangnya dan bayiku akan menyusu buat pertama kalinya secara oral. Gembiranya hatiku bila buat pertama kalinya tidak lagi melihat wayar-wayar di tubuh kecil bayiku. Kini aku menghitung hari akhir rawatan antibiotik ku supaya aku dapat menjaga sendiri bayiku di wad pediatric.

Terima kasih Allah dengan pengalaman yang sangat bernilai ini. Terima kasih kerana memilihku untuk ujian ini. Allah tidak zalim, Allah menguji berdasarkan berdasarkan kemampuan diri hambaNya. Dan yang paling mahal harganya adalah pengajaran dari setiap ujian itu adalah didikan atau hidayah terus dari Allah.

Bukti kekuasaan Allah dari ujianku:
1. Tiada penjelasan sainstifik bagaimana aku boleh mengandung kerana terdapat fibroid yang blok pintu rahimku sebelum aku mengandung.
2. Pada peringkat awal mengandung pakar meramalkan kandunganku sukar survive kerana terdapat 4 fibroid membesar dengan cepat melebihi pembesaran bayiku. Fibroid ini juga mengambil makanan dari uri dan menjadi pesaing bagi bayiku.
3. Pemulihan pantas aku dan bayiku adalah sesuatu yang diluar jangkaan pakar. Walaupun setakat ini tiada sebarang masalah dikesan terhadap bayiku, bayiku perlu dipantau melalui ujian MRI ke atas otaknya pada setiap 3 bulan.


cinta hati kesayangan hamba <3

No comments:

Post a Comment